KUALA LUMPUR: Kadar pemberian vaksin harian di negara ini meningkat kepada 29,560 dos sehari setakat semalam, 14 hari selepas Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan pada 24 Februari lalu.
Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sejumlah 195,923 dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech sudah diberikan kepada petugas barisan hadapan setakat semalam, berbanding 166,363 kelmarin.
Berdasarkan kapasiti pemberian vaksin harian semasa, sasaran menyuntik 500,000 petugas barisan hadapan dalam fasa satu PICK mampu dicapai dalam tempoh 17 hari lagi atau lebih awal jika kadar itu ditingkatkan selaras sasaran kerajaan.
Data yang dikongsikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini turut menunjukkan Sarawak kekal sebagai negeri paling banyak menyuntik vaksin itu dengan 27,500 dos setakat semalam.
Sarawak adalah satu-satunya negeri yang sudah memberikan lebih 20,000 dos vaksin disusuli Selangor (19,251), Kuala Lumpur (16,887), Pahang (16,342), Sabah (16,245), Perak (15,881), Johor (15,843) dan Kelantan (14,185).
Kedah pula sudah mengagihkan 11,638 dos disusuli Terengganu (11,261), Negeri Sembilan (8,385), Pulau Pinang (7,781), Melaka (5,365), Perlis (4,158), Putrajaya (2,941) dan Labuan (2,260).
PICK bermula pada 24 Februari lalu dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di Malaysia diberi suntikan vaksin COVID-19.
Ketika ini, Malaysia memberikan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech, iaitu vaksin pertama yang tiba di negara ini pada 21 Februari lalu, sebelum vaksin keluaran Sinovac dari China tiba pada 27 Februari.
Sebelum ini, Kumpulan Pharmaniaga Bhd, Datuk Zulkarnain Md Eusope dilaporkan berkata, vaksin Sinovac dijangka akan mula diedarkan bulan depan.
Selepas Fasa Satu PICK yang dijadualkan sehingga bulan depan selesai, Fasa Dua akan bermula antara April hingga Ogos depan, untuk memberi vaksin kepada kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.
Fasa Tiga pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk memberi vaksin kepada kira-kira 13.7 juta penduduk di Malaysia berusia 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.
Kelmarin, Khairy dilaporkan berkata, seramai 571,802 petugas barisan hadapan yang disenaraikan mendapat vaksin COVID-19 dalam fasa pertama PICK bakal menerima dos pertama akhir bulan ini.
Sumber : Berita Harian